Memegang status sebagai janda, bukanlah sesuatu yang mudah untuk Laila lakukan. Apatah lagi bila tubuhnya bersaiz XXL. Sudah dia cuba menjaga diri, tapi Luth Aariz di sebelah menggamit-gamit hati.
“Sedap lauk semalam, sayang? Mak kata, awak makan sampai licin pinggan,” tegur Laila, sambil melorek senyum mesra.
Mata Luth yang sedang fokus mengikat tali safety boot di kakinya naik memandang wajah janda di sebelah. Asbab geram dengan panggilan yang Laila tuturkan, laju mata Luth hadiahkan satu jelingan tajam.
Seram dengan panggilan Laila tadi. Bersayang-sayang bagai! Hati mendongkol geram, bila janda nan sorang ini tak takut jantan! Tak takut orang. Daring semacam!
Dalam pada Luth rasa dia janda yang daring, sebenarnya Laila tahu malu juga orangnya. Nak-nak lagi bila badan dia yang bersaiz XXL itu kerap menyusahkan pergerakan harian. Duduk dekat kerusi plastik, tersangkut dek lemak di celah peha dan pinggang.
Cuba melangkah longkang, natijahnya jatuh terbaring ke dalam. Dalam pada dia berdoa bukan Luth yang datang menyelamat, lelaki itu terpacul di depan muka. Malu Laila, tak terkata.
“Kau ni, kena badi apa? Malang sentiasa! Aku rasa kau memang kena mandi air longkanglah, buang segala suey dekat badan kau ni!” ucap Luth dengan nada yang dikawal kuatnya, agar tak kedengaran pada telinga orang-orang sekeliling mereka.
Tapi, kata-kata itu terus menusuk ke lubuk hati Laila yang paling dalam. Kalau selalunya dia tak henti bercanda, mengusik lelaki idamannya, kali ini Laila diam seribu bahasa.
Selamat saja dia dari insiden itu, Laila berkurung dalam rumah. Nekad, takkan Luth nampak lagi dia punya kelibat. Tapi bila Laila menghilang, Luth pula bagaikan orang tak siuman.
Hanya kerana mahu melihat janda itu, sanggup dia nak sewakan rumah Laila pada orang? Padahal, Laila masih penghuni yang tetap.
Gila? Ya. Keduanya.
Macam mana selamba dia lukakan hati Laila, macam tu jugalah dia masuk meminang jiran sebelah. Agak-agak, selepas teruk dilukakan, nak ke Laila pada bomba sebelah rumah?
Dulu… Luth Aariz kata Malaysia tak kurang anak dara. Sekarang, kenapa janda juga yang dia gila?