“Saya dah terlanjur dengan dia imam. Minta tolong nikahkan kami sekarang. Saya takut dia tidur dengan lelaki lain pagi nanti. Saya tak nak ragui nasab anak saya yang sedang dia kandungkan!”
Tak pernah terbayang di fikiran Tengku Qariz Aqashah, perkahwinannya dimulai dengan fitnah yang dia sendiri perlu taburkan pada pengantin perempuan.
Tapi, degil Lea memaksa dia lakukan perkara yang tak pernah terbayang di fikiran. Bila Zayd Amjad amanahkan dia mengahwini Lea Zaysha, Aqashah tak pernah menyangka hidup dia akan jadi sebegini susah.
Dia merupakan seorang Peguam, tapi isteri dia macam kucing liar. Suka berlumba haram, melepak malam-malam. Sampai ke tahap dia perlu masukkan gadis itu ke dalam lokap, hanya untuk mengajar isteri dia erti taat dan hormat.
“Aku jamin takkan susahkan kau walau apa sekalipun yang terjadi!”
Itu jaminan Lea, tapi bila kata-kata makan diri, Aqashah juga yang dicari. Teruknya sampai tahap terpaksa google nama firma guaman suami sendiri untuk berhubung dengan suami sendiri.
“Tolong ikatkan anduh ni,” pinta Lea dengan muka yang masam mencuka bila terpaksa uruskan diri dengan sebelah tangan saja.
“Dalam pada kau berjanji, jamin takkan susahkan aku dengan jalan hidup yang kau pilih, sekarang tengok apa yang berlaku. Kau dah menyusahkan aku!” selar Aqashah keras, waktu dia mengemaskan ikatan anduh yang dah disimpul di leher isterinya.
Kali ini, Aqashah tak dapat menahan mulut daripada bersuara. Drastik, marah dan geram yang dah lama terbuku dari petang tadi menyerbu emosi Aqashah.
Terasa.
Aqashah kata boleh jadi dia, tapi bila dia minta tolong pakaikan baju dan ikatkan anduh, lelaki itu dah pandai berkira. Sebal dibuatnya!
Ingatkan, kemalangan itu mengajar Lea erti serik. Ingatkan akal Lea Zaysha terhenti setakat itu saja, Tapi bila Lea sembunyikan kandungan yang berusia empat bulan, agak-agak bagaimana hukuman yang Aqashah berikan?
“Please don’t! Kau tahu, ni satu perangkap!” rayu Lea sambil memanah tepat ke dalam sepasang mata Aqashah yang nampak dingin itu.
“Tak apa, kalau jadi apa-apa dekat aku pun, teruskan je hidup kau macam biasa. Macam mana kau rahsiakan anak tu dari aku, macam tulah kau kena teruskan hidup. Aku tak bawa apa-apa makna dalam hidup kau, jadi tak ada apa yang perlu kau risaukan kalau aku hilang dari hidup kau,” tutur Aqashah senada. Tanpa emosi.
Tapi Lea yang mendengar? Dah tergamam, terkedu. Terkelu sendiri.
Selalunya, dia saja yang pandai membuat onar. Tapi bila tempat mereka bertukar, agak-agak macam mana kesudahan kisah Tengku Qariz Aqashah?