BLURB SIR WAFI YOU’RE MY POSSESSION
Mereka hanyalah kawan. Tak wujud cinta. Jauh sekali nak menjadi pasangan kekasih. Lamaran drastik dari Wafi memberi Najiha anggapan bahawa Wafi hanya bergurau. Namun, Wafi serius dengan lamaran itu. Bersungguh-sungguh dia memujuk Najiha menerimanya. Kesungguhan itu hanyalah kerana satu sebab.
“Dia orang tuduh aku… gay.” - Wafi
“Dah kalau dia orang tuduh awak gay, beritahulah perkara sebenar. Cakap ajelah yang awak belum ada jodoh. Takkanlah benda macam tu pun awak tak boleh fikir?” - Najiha
Najiha menolak keras tawaran Wafi itu. Tak mungkin dia nak berkahwin dengan kawan a.k.a pensyarahnya sendiri. Dalam masa yang sama, Najiha menghadapi masalah kewangan yang akhirnya membuatkan dia terpaksa mengorbankan seluruh hidupnya demi melihat babanya kembali sihat. Perkahwinannya dengan Wafi sekadar untuk melunaskan kepentingan masing-masing.
Mereka menjalani kehidupan seperti biasa. Sayang dan cinta tidak wujud antara satu sama lain walaupun ada harinya mereka bahagia. Namun, Najiha mula berasa bersalah kerana mentuanya melayaninya dengan elok. Sedangkan mereka mengaburi mata ibu bapa masing-masing dengan kebahagiaan yang sengaja direka.
“Bila lihat mummy dan daddy awak, saya rasa bersalah. Awak tak ada rasa apa-apa ke?” - Najiha
“Dia orang yang nak aku kahwin sangat untuk buktikan diri aku lelaki normal. Kenapa aku kena rasa bersalah?” – Wafi
Di saat sayang mulai wujud di hati, ketika itulah hati dia remuk dengan penolakan Wafi. Usaha untuk menggoda Wafi terhenti separuh jalan. Jika Wafi benar lelaki normal, kenapa godaannya tidak memberi kesan pada lelaki itu? Dibelenggu rasa kecewa, hubungan mereka mulai retak.
Di akhir cerita, akan wujudkah cinta Wafi pada Najiha? Akan bahagiakah mereka jika perkahwinan itu bukan berlandaskan cinta? Adakah hubungan mereka akan kekal sebagai suami isteri sehingga akhirnya?