BLURB
“Kenapa abang tak bincang dengan Iza dulu sebelum setuju?”
Itu soalan pertama yang Izzara ajukan sebaik saja Faaeq khabarkan kenaikan pangkat lelaki itu. Hairan? Sangat! Reaksi Izzara tak normal seperti isteri-isteri lelaki lain.
Asbab cemburu, Izzara lebih sanggup hidup dalam takuk yang sama daripada upgrade kehidupan mereka. Maka sebagai suami, Faaeq cuba sedaya upaya untuk senangkan hati isteri sendiri.
“Jangan risau, Mariam dah kahwin. Orangnya pun berisi, cantik lagi isteri abang ni.” Itu yang Faaeq katakan sewaktu dia tunjukkan Izzara pembantu di pejabatnya.
Masalahnya… dia dah tersalah anggap! Pembantu yang disangka berisi, rupanya elok menawan.
“Sorry, saya nak tanya. Awak dah kahwin ke?” soal Faaeq tiba-tiba. Sekurang-kurangnya, kalau Mariam dah berkahwin, legalah dia. Izzara pasti tak akan cemburu buta.
“Janda,” jawab Mariam perlahan.
Ah sudah! Jawapan yang Mariam berikan buat Faaeq rasa tercekik tiba-tiba!
Kalau itulah status yang disandang oleh pembantunya, nampaknya dia memang kena diamkan saja kebenaran tersebut. Persoalannya, sampai bila Izzara boleh ditipu? Nak-nak lagi bila Izzara dan Mariam bertemu pada majlis dinner CNY syarikat.
Saat Faaeq bangga memperkenalkan Izzara sebagai isterinya pada semua staff dan kenalan, lain pula yang Mariam lakukan.
“Pandora?” tanya Izzara sambil mengetuk cincin yang sama di jari manisnya.
“Pandora,” balas Mariam sepatah.
“Sama macam cincin I. You minat Pandora ke?” tanya Izzara lagi.
“Tak, orang bagi,” jawab Mariam sambil menyungging senyum manis.
“Boyfriend?” tebak Izzara, sengaja berbasa basi dengan wanita yang rupawan itu.
“Skandal,” jawab Mariam langsung mata dikenyitkan nakal pada wanita tersebut.
“Owh,” balas Izzara, terkejut dengan kenyataan yang keluar dari mulut wanita tersebut. Macam mana seorang staff perempuan dengan tanpa segan silunya kongsikan jawapan begitu, pada isteri bos sendiri?
“Duda?” tebak Izzara dengan hati yang dah berdenyut sakit.
“Suami orang,” jujur Mariam dalam senyuman.
“Nama siapa?” tanya Izzara sambil berlagak biasa. Sedaya upaya rasa jelek dan tak senangnya cuba disembunyikan.
“Mariam,” jujur Mariam bersahaja.
Drau! Berderau darah Izzara mengalir laju ke segenap saraf! Dalam masa yang sama, laju jantungnya mengepam darah! Dada berdetak kuat hingga Izzara dapat dengar degupan jantung dia sendiri di telinga. Pantas, Faaeq ditemui untuk satu kepastian.
“Iza nak tanya, Mariam yang pakai baju putih tu ke pembantu abang?”
Saat soalan itu diajukan, agak-agak, apa jawapan yang Faaeq berikan? Berterus terang, atau dia masih cuba mengelak pertelingkahan? Dan, apa pula niat Mariam bila dia wujudkan isu yang tak patut ditimbulkan?
Benarkah, semudah itu Izzara dibutakan dengan penipuan? Izzara Sofea, dia… bukan tipikal wanita. Jadi, takkan ada yang biasa-biasa pada ceritanya.