BLURB DATUK UZAIR PELINDUNG KIRIMAN TUHAN
Kerana tidak menjaga pergaulan, Safeera akhirnya terkurung di dalam jeriji besi selama tujuh tahun. Tamatnya hukumannya di dalam tempat ngeri itu, dia terus dibuang oleh emaknya sendiri. Akur dengan takdir itu, dia membawa diri tanpa hala tuju yang pasti. Namun, Allah tidak akan membiarkan hamba-Nya menghadapi ujian itu tanpa ada hikmah di sebaliknya.
Pertemuan Safeera dengan Mak Cik Nilam bagaikan membuka ruang untuknya memulakan kehidupan barunya. Bukan itu sahaja, Safeera juga bertemu dengan Datuk Uzair, anak kepada Mak Cik Nilam. Pertemuan pertama mereka biasa-biasa sahaja walaupun Datuk Uzair juga terkejut dengan kehadiran perempuan muda itu di rumahnya.
“You boleh panggil I Datuk Uzair. I adalah pemilik rumah ni. Ini bermakna, I adalah majikan you selain daripada mama I. Setiap arahan I, you mesti patuh. Bangkangan atau bantahan, I tak nak dengar. Faham?” - Datuk Uzair
“Faham, Datuk Uzair. Saya akan dengar setiap arahan Datuk.” - Safeera
Bulan berganti bulan, Safeera bekerja dengan sangat baik di rumah itu. Mak Cik Nilam dan Datuk Uzair melayannya dengan baik. Baru sahaja dia mampu bernafas dengan tenang, kepulangan Alia iaitu anak angkat kepada Mak Cik Nilam menggugat ketenangannya. Sinisnya perempuan muda itu dalam berbicara menjadikan hati Safeera tidak menentu.
Satu kejadian yang berlaku menyebabkan Mak Cik Nilam hilang kepercayaan kepada Safeera sehingga Safeera dihalau keluar dari rumah itu. Sekali lagi Safeera terpaksa membawa dirinya ke tempat lain. Walau bagaimanapun, takdir seakan merancang sesuatu antara Safeera dan Datuk Uzair apabila mereka bertemu semula selepas tujuh bulan berpisah. Namun, pertemuan kali ini bukanlah satu pertemuan yang biasa. Hati Datuk Uzair yang sentiasa mengingati Safeera tidak dapat menipu tuan badan. Perasaan yang entah bila bersemi seakan tidak mampu dibendung lagi.
“Sungguh ke Datuk nak kahwin dengan saya? Mungkin perasaan suka Datuk pada saya hanyalah mainan hati Datuk je. Saya ni bukan siapa-siapa. Saya tak layak untuk Datuk.” - Safeera
“Perasaan I pada you dah lama wujud. Bukan selepas you pergi dari sini. Tapi, sebelum tu lagi. I nafikan perasaan I sendiri. Sebab tu, I selalu lindungi you. Memang I cakap I buat semua tu sebab tanggungjawab I sebagai majikan you. Rupa-rupanya, tak. - Datuk Uzair
Safeera menerima lamaran itu setelah dia memikirkan apa yang terbaik untuknya. Namun, semakin lama dia menjadi sebahagian daripada hidup Datuk Uzair, rahsia yang disimpannya semakin mencekik dirinya. Adakah rahsia diri Safeera akan berjaya dikekalkan? Bagaimana dengan Datuk Uzair dan Mak Cik Nilam yang selalu menganggap Safeera adalah insan yang baik selama ini?