Lima bulan, hanya itu tempoh masa yang DELISHA ARYANNA punya, untuk menerima RAYHAN ESQANDAR sebagai suami.
“Aku tak nak pergi mana-mana. Aku nak teman Efizan!” tolak Delisha, tanpa peduli dengan perasaan Esqandar yang dah bergelar suaminya.
Dia yang menerima lamaran Esqandar, namun dia yang kerap melukakan! Malam pertama mereka, dia lari tidur di balkoni. Bila Esqandar mendekat, habis disikunya wajah si suami.
“Tolong jangan sentuh aku. Aku nak simpan diri aku untuk Efizan,” ulang Delisha lagi, tanpa peduli pada luka yang sedang dicarik ke atas hati suaminya.
“Dalam banyak-banyak kali kau lukakan hati aku, kali ini yang paling sakit sekali Delisha. Sakitnya, sampai aku harap aku mati! Kalau dalam keadaan masih bernyawa ni, aku gagal dapatkan secebis hormat dan kasih sayang mahupun cinta dari kau… mungkin dengan kematian saja, aku bakal dapatkan semua ini dari kau!”
Namun, Delisha tak peduli dengan kelukaan Esqandar. Saat Esqandar keluar dari kamar bersama hati yang retak seribu, dia turut keluar dari rumah! Dan, perbuatan itu mencarik luka di hati Esqandar. Terasa maruahnya diinjak lumat oleh Delisha!
“Kalau kau rasa terseksa sangat kahwin dengan aku, hidup dengan aku… lepas mandi, kemas barang-barang kau semula. Aku hantar kau balik rumah Aryani,” putus Esqandar, senafas.
“Aku tak nak!” bentak Delisha, keras. Tanpa amaran, tangannya naik menolak dada bidang Esqandar!
Saat Esqandar bersedia untuk mengalah, Delisha angkat bendera merah! Niat Esqandar dihalang, kerana dia perlukan Esqandar demi satu tujuan. Persoalannya, apa yang Delisha Aryanna perlukan daripada Rayhan Esqandar?
“Mulai saat ini, aku tak akan halang langkah kau lagi. Kau bebas bergerak ke mana saja kau nak pergi, asalkan langkah kau tak dekati aku lagi,” ucap Esqandar, dalam nada yang sarat dengan kelukaan.
Delisha terpempan! Apa maksud Esqandar?
Entah kenapa, ketika melihat Esqandar terluka begitu, hati dia ikut terluka sama. Dan, saat kereta Esqandar meluncur laju meninggalkan rumah, Delisha rasa dunia dia hancur punah!
Yang paling menyakitkan adalah ketika dia cuba menghubungi Esqandar, baru dia sedar bahawa tak ada satu pun maklumat mengenai suaminya berada di dalam pengetahuan. Saat itu, Delisha terasa dialah isteri yang paling gagal sekali dalam dunia!
Kerana terbiasa melukakan, Delisha jadi galau bila dia yang ditinggalkan! Lantas, apa kesudahan TAKDIR LUKA, DELISHA ARYANNA? Mampukah bahagia dikecapi, setelah berkali-kali dia melukakan suami sendiri, demi satu tujuan yang tak mampu diterima dek akal?