Pang!
Ya, tamparan. Satu tamparan hinggap di pipi Ayla Maleeqa, saat khabar duka itu sampai di telinga suaminya. Dan, dia dituduh sengaja membunuh Elladina!
Mana mungkin? Mana mungkin seorang ibu mampu membunuh anak sendiri? Namun, itu yang terjadi! Katalah apa saja, qada dan qadar, mahupun ajal, tetap juga Ayla salahkan diri sendiri.
“Kau jaga anak orang! Tapi anak sendiri, kau tinggalkan macam binatang!” tempik Ariq, kuat!
Betul, apa yang Ariq kata! Namun, dia tak sengaja. Sumpah, dia tak sengaja! Tapi, siapa yang mahu percaya? Dia sendiri pun susah nak hadam hakikat yang sebenarnya!
“Bunuh I, Riq! Bunuh I! Tolong ambil pisau, tikam tepat atas jantung I!” rayu Ayla berselang seli dengan tangisan yang tak mampu dihentikan.
Turun bertinggung, Ariq cengkam kedua-dua belah bahu isterinya, sekaligus menarik wanita itu bangun menghadapnya!
“Kalau aku bunuh kau sekarang, boleh kau hidupkan anak aku balik?!” soal Ariq, garang! Wajah sembab, pucat dan tak bermaya isterinya, direnung dengan penuh kebencian!
“I dah doa, supaya Allah gantikan nyawa Ella dengan nyawa I, Riq! I dah doaaa… you tolong doakan sekali Riq! Rayulah pada Allah, Riq! Tolong minta Allah ambil nyawa I, dan kembalikan nyawa anak kita…” ngongoi Ayla, dalam tangisannya!
Namun, tangisan Ayla tak dipedulikan.
“Aku benci kau, Ayla! Aku benci kau!” ucap Ariq, dengan nada yang sarat kebencian!
Dan, hasil kebencian itu… Ayla diceraikan dengan talak satu! Hancur musnah segalanya! Puas dirayu, namun Ariq tak berganjak dari keputusan lelaki itu.
“Aku rasa macam nak bunuh kau, Ayla!” marah Ariq, menggila!
Faham. Kerana sejak Ella pergi, dia juga rasa macam nak bunuh diri sendiri!
Dan, itu jugalah yang Ayla lakukan. Sebagaimana Ella terseksa, seperti itu juga dia menyeksa dirinya. Namun, tanpa izin Allah, manakan mampu dia mencabut nyawa sendiri?
Tak cukup dengan tuduhan membunuh, Ayla ditangkap pula atas tuduhan menculik! Kali ini, alasan yang digunakan adalah RINDU. Ya, hanya kerana rindu.
“You tahu cara yang paling berkesan untuk hilangkan rindu tu?” Ardean mula mendominasi hati dan fikiran Ayla yang sedang rapuh.
Saat perhatian Ayla berjaya dipancing, Ardean renung tepat ke dalam iris abu-abu itu.
“Kahwin, dan buat anak lagi,” ucap Ardean senafas!
Terhipnotis, itu yang Ayla turutkan. Bila dia dah selamat melahirkan, jawapan Ardean buat Ayla terpempan!
“I dah bagi anak kita pada orang!”
Dan, kata-kata suaminya buat hidup Ayla kembali berantakan!
Nak disalahkan Ardean, mulut dia juga yang meminta! Malah, sengaja ditahankan tubuhnya daripada melahirkan anak tersebut.
“Jangan panggil ambulans datang! Anak ni, tak boleh lahir… I, I tak akan lahirkan dia! Dia tak boleh ganti Ella I, Dean!” Terngiang-ngiang jeritan itu, di telinganya.
Ayla pejam mata saat dia kembali ingat akan segala-galanya.
Agak-agaknya, siapa pesalah yang aktual? Dan, siapa pula yang menjadi mangsa RINDU AYLA MALEEQA yang sebenar-benarnya?