Hanya kerana satu pertembungan di pantai, Qaseh dituduh sebagai stalker yang tergila-gilakan bekas suaminya. Tak cukup dituduh, dia dikasari, dan dimalukan di depan khalayak ramai.
Mujur, Qaayed muncul menjadi knight in shining armor. Dalam pada Qaayed mencuba nasib, Maaz sibuk menganggu sama, hanya kerana lelaki itu rasa bersalah menjadi punca kehancuran hidup dan rumahtangganya.
“Soo… you memang janda hot ke? Sana sini lelaki kejar you.” Itu anggapan Qaayed padanya, malangnya hakikatnya berbeza.
“Salah tu. Awak tak dengar ke apa yang bekas suami saya jeritkan tadi? Saya ni jalang. Jadi, jauhkan diri awak dari saya,” pesan Qaseh, tanpa memandang wajah Qaayed di sisinya.
Tapi, Qaayed tak mendengar kata. Janda yang dilarang didekati itu, tetap juga yang dia mahu. Dan, kerancakan Qaayed memikatnya, buat Qaseh diserbu takut. Apa reaksi Qaayed nanti, bila kisah silamnya diketahui oleh lelaki itu?
“Tak semua lelaki sama macam bekas suami you, Qaseh. Masih ada lelaki macam I dan Maaz, yang mampu terima segala kekurangan orang yang kami suka,” sambung Qaayed lagi.
Itu yang Qaayed kata, tapi bila kebenarannya terbongkar… hatta sapu tangan lelaki itu pun, Qaayed tak bagi dia simpan! Habis diambil semula dari tangan.
Pasrah dengan takdir, Qaseh terima hanya setakat itu jodoh di antara mereka.
Dalam pada dia sibuk membina hidup baru, Alisa tak habis-habis nak menghancurkan hidupnya. Di majlis sambutan kelahiran Rafiqa, Nuqman dan Alisa singkap semula aib yang lama.
Dia hanya datang makan! Dia hanya datang memenuhi jemputan! Kenapa tergamak sampai begini sekali mereka jatuhkan maruahnya? Padahal, masing-masing dah bahagia!
“Qaseh nampak bahagia sangat lepas bercerai dengan abang. Bukan dia patut menderita ke?” tanya Alisa, hairan.
Masalahnya, yang ditipu itu Nuqman. Kenapa Alisa pula yang berdendam? Dalam pada Alisa sibuk mengutuk Qaseh, kenapa dia turut melukakan Nuqman?
Dan, natijahnya, balik-balik, Qaseh yang menjadi sasaran!
Tak henti-henti, Qaayed, Maaz, Nuqman dan Alisa menyerabutkan fikiran.
Lalu, apa akan terjadi pada Qaseh Maisara, di dalam kisah sambungannya? Mampukah dia bahagia, atau… bahagia itu, tak layak dimiliki pendosa sepertinya?
“Dah tiga tahun kita kahwin, kenapa payah sangat rezeki nak lekat?” rungut Nuqman, bersama kepala yang tertunduk merenung lantai. Hampa dan kecewanya, dah tak mampu nak diungkap!
Dan, luahan itu buat Qaseh telan liur sendiri. Ada rasa sakit yang menjalar di hati.
“Qaseh pun teringin jugak, bang. InsyaAllah, ada rezeki kita nanti. Bila tiba masanya, kita akan ada anak sendiri.”
Itu yang Qaseh katakan, namun ada rahsia yang Qaseh sembunyikan. Nuqman tak boleh tahu, dan Nuqman tak akan tahu! Pandai makan, pandai simpan. Itu prinsip yang Qaseh terapkan.
Tiga tahun, dia berjaya hidup bahagia. Namun, semua itu berubah, saat Maaz hadir ke rumah!
“Kau buat hidup aku tak tenang selama tiga tahun ni, Qaseh! Aku miserable teringatkan dosa-dosa kita, dekat sana. Tapi kau dekat sini, senang hati bina bahagia dengan sahabat aku sendiri!” bentak Maaz lagi, sambil menunjal-nunjal tengah dadanya. Sakit jiwa dengan takdir mereka!
Tak sangka, wanita yang menjadi punca dia larikan diri ke Syria itulah, yang menjadi isteri sahabatnya!
“Saya tak tahu Nuqman sahabat Doktor!” Qaseh pertahankan diri, dengan nada separuh berbisik!
Semudah itu, Qaseh lepaskan diri? Bengang Maaz jadinya.
“Tolonglah Doktor! Jangan beritahu tentang saya, atau tentang kita pada Nuqman!” rayu Qaseh, terdesak bila dia dapat rasakan Maaz tak mahu beri kerjasama!
Sekali lagi, Maaz tersepit dengan permintaan Qaseh Maisara!
Tapi kali ini… mana mungkin, dia perjudikan hubungan persahabatan dia dengan Nuqman, hanya untuk menyimpan rahsia wanita itu? Qaseh tak beri dia pilihan. Daripada separuh gila menanggung serba salah, lebih baik Maaz singkap kebenaran yang sebenar.
Rahsia yang tersingkap, menuntut Nuqman meminta penjelasan daripada isterinya.
“Kenapa diam?! Jawab! Kenapa kau tak beritahu siapa kau yang sebenarnya, Qaseh Maisara?!” pekik Nuqman, bagai orang gila! Warasnya hilang sebaik membaca maklumat yang Maaz berikan.
Pejam mata rapat, berderai lagi air mata Qaseh membanjiri kedua pipinya. Menggeletar tubuh bila dosa yang saban hari cuba dilupakan, kembali disingkap!
Serta merta, rasa berdosa membelenggu jiwa!
“Abang boleh hukum Qaseh, abang boleh pukul Qaseh, abang boleh marah Qaseh, abang boleh benci Qaseh, asalkan abang tak ceraikan Qaseh! Tolonglah abang!” ngongoi Qaseh, dalam tangisan yang menggila.
Bila Nuqman tetap tak berganjak dari keputusan lelaki itu, ini pula yang Qaseh katakan.
“Abang boleh kahwin lain! Qaseh izinkan! Abang boleh gantung Qaseh tak bertali, asalkan jangan cerai!” rayu Qaseh, tanpa fikirkan natijah kata-katanya sendiri.
Masalahnya, rahsia apa yang Qaseh simpan, sampai begini teruk sekali dia izinkan Nuqman ambil tindakan? Dan, mengapa bukan cerai yang menjadi pilihan?