“Dah tiga tahun kita kahwin, kenapa payah sangat rezeki nak lekat?” rungut Nuqman, bersama kepala yang tertunduk merenung lantai. Hampa dan kecewanya, dah tak mampu nak diungkap!
Dan, luahan itu buat Qaseh telan liur sendiri. Ada rasa sakit yang menjalar di hati.
“Qaseh pun teringin jugak, bang. InsyaAllah, ada rezeki kita nanti. Bila tiba masanya, kita akan ada anak sendiri.”
Itu yang Qaseh katakan, namun ada rahsia yang Qaseh sembunyikan. Nuqman tak boleh tahu, dan Nuqman tak akan tahu! Pandai makan, pandai simpan. Itu prinsip yang Qaseh terapkan.
Tiga tahun, dia berjaya hidup bahagia. Namun, semua itu berubah, saat Maaz hadir ke rumah!
“Kau buat hidup aku tak tenang selama tiga tahun ni, Qaseh! Aku miserable teringatkan dosa-dosa kita, dekat sana. Tapi kau dekat sini, senang hati bina bahagia dengan sahabat aku sendiri!” bentak Maaz lagi, sambil menunjal-nunjal tengah dadanya. Sakit jiwa dengan takdir mereka!
Tak sangka, wanita yang menjadi punca dia larikan diri ke Syria itulah, yang menjadi isteri sahabatnya!
“Saya tak tahu Nuqman sahabat Doktor!” Qaseh pertahankan diri, dengan nada separuh berbisik!
Semudah itu, Qaseh lepaskan diri? Bengang Maaz jadinya.
“Tolonglah Doktor! Jangan beritahu tentang saya, atau tentang kita pada Nuqman!” rayu Qaseh, terdesak bila dia dapat rasakan Maaz tak mahu beri kerjasama!
Sekali lagi, Maaz tersepit dengan permintaan Qaseh Maisara!
Tapi kali ini… mana mungkin, dia perjudikan hubungan persahabatan dia dengan Nuqman, hanya untuk menyimpan rahsia wanita itu? Qaseh tak beri dia pilihan. Daripada separuh gila menanggung serba salah, lebih baik Maaz singkap kebenaran yang sebenar.
Rahsia yang tersingkap, menuntut Nuqman meminta penjelasan daripada isterinya.
“Kenapa diam?! Jawab! Kenapa kau tak beritahu siapa kau yang sebenarnya, Qaseh Maisara?!” pekik Nuqman, bagai orang gila! Warasnya hilang sebaik membaca maklumat yang Maaz berikan.
Pejam mata rapat, berderai lagi air mata Qaseh membanjiri kedua pipinya. Menggeletar tubuh bila dosa yang saban hari cuba dilupakan, kembali disingkap!
Serta merta, rasa berdosa membelenggu jiwa!
“Abang boleh hukum Qaseh, abang boleh pukul Qaseh, abang boleh marah Qaseh, abang boleh benci Qaseh, asalkan abang tak ceraikan Qaseh! Tolonglah abang!” ngongoi Qaseh, dalam tangisan yang menggila.
Bila Nuqman tetap tak berganjak dari keputusan lelaki itu, ini pula yang Qaseh katakan.
“Abang boleh kahwin lain! Qaseh izinkan! Abang boleh gantung Qaseh tak bertali, asalkan jangan cerai!” rayu Qaseh, tanpa fikirkan natijah kata-katanya sendiri.
Masalahnya, rahsia apa yang Qaseh simpan, sampai begini teruk sekali dia izinkan Nuqman ambil tindakan? Dan, mengapa bukan cerai yang menjadi pilihan?