Enam tahun berkahwin, Ayden Nazrin dan Emma Raihana, bahagia menyulam cinta dengan cara mereka sendiri. Tatkala semua pasangan berlumba-lumba mendapatkan cahaya mata, mereka berdua beriya-iya mengejar kerjaya.  

Tapi, bahagia mereka tak bertahan lama, bila Datin Baizura mahukan zuriat daripada keturunan Syed Bakar. Pada mamanya, Ayden kata, rezeki tak menyebelahi mereka. Padahal dalam diam, Raihana telan pil pencegah. 

“Mama tak sangka kamu berdua seteruk ni! Enam tahun mama membebel, bertanya mana hasilnya, balik-balik jawapan kamu berdua, tak ada rezeki kononnya! Berusaha ya, Ayden?! Tunggang terbalik atas bawah pun kamu berusaha, kalau Rai amalkan pencegah, celah mananya isteri kamu ni boleh mengandung?!” tempikan suara Datin Baizura menggegarkan seisi rumah. Sakit hati bila tembelang menantunya, pecah!

Akhirnya, kata dua diberi. Mengandung dalam masa dua bulan, atau terima poligami! Itu hukuman Datin Baizura buat Ayden dan Raihana!

Kata putus mertuanya letakkan Raihana dalam dilemma. Tak hamil, dia hilang Ayden. Hamil pula, dia hilang kerjayanya. Tapi, apa pilihan yang dia punya? Tak ada! Terpaksa menurut walau tak rela. Namun, tak akan sekali-kali dia lepaskan kerjayanya!

Sangka Raihana, mendung sudah berlalu bila dia lahirkan Emma Elaina. Mana tahu, lima bulan selepas melahirkan, ujian yang datang juga bukan calang-calang. 

“I nak you berhenti kerja, Rai,” arah Ayden dalam satu nafas. Tegas!

Paling tak disangka, suami yang berkongsi impian yang sama, sudah berani berpaling tadah, menuduh dia pentingkan kerjaya daripada keluarga. Hingga akhirnya, Emma Elaina dipisahkan daripadanya.

"Ambil balik susu you ni! Tak payah pura-pura jadi ibu yang baik, kalau you masih pentingkan kerja daripada anak sendiri!" Ayden campak dua botol susu EBM yang Raihana beri, hingga tumpah semuanya ke lantai. 

Hancur luluh hati Raihana dibuat Ayden! Sederas susunya mengalir tumpah ke lantai, sederas itu jugalah, air matanya mengalir keluar. Tergamak Ayden hukum dia begini, hanya kerana dia terlewat pulang dari kerja, ketika Emma Elaina demam?

“You’ve failed us, Rai!” cemuh Ayden bengang. Tak sangka, begini rendah nilai dia dan Emma, dia mata Raihana.

Hanya kerana satu andaian, habis berantakan keluarga kecil Ayden. Raihana sangka, dia yang paling terluka. Tanpa sedar, rupanya… dia yang melukakan. Di penghujung dilemmanya, yang mana satu jadi pilihan, pencinta kerjaya seperti EMMA RAIHANA?


×
WhatsApp